
Di antara punca kenapa amat susah menurunkan paras kolesterol adalah kesilapan dalam pemilihan makanan seperti makan makanan tinggi karbohidrat, gula berlebihan, lemak tepu, makanan tinggi dengan ‘asid lemak trans’ dan makanan proses selain kurang aktiviti fizikal.
Hakikatnya jika makan punca kolesterol tinggi, maka cara terbaik untuk mengawal paras kolesterol ialah dengan makan makanan yang boleh menurunkan paras kolesterol. Terdapat banyak kajian sains dilaporkan dalam jurnal perubatan yang membuktikan pemakanan ikan boleh membantu menurunkan paras kolesterol darah.
Makanan laut adalah makanan yang baik dalam Islam dan sangat istimewa kerana semua makanan laut adalah halal, sebagaimana hadis Nabi s.a.w yang bermaksud, Rasulullah bersabda mengenai laut: “Airnya menyucikan dan halal bangkainya.” (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, an-Nasa’ie, Ibnu Majah dan Abu Dawud) Jelas di sini terbukti bagaimana benarnya sabda Nabi yang mempunyai rahsia dan hikmah yang akhirnya terbukti secara saintifik.